ISRAEL HAS NO RIGHT! (2)

Wartawan, jurukamera Astro Awani dibebaskan

02/06/2010 12:36pm

KUALA LUMPUR 2 Jun - ``Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.’’

Kata wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel selepas kapal Mavi Marmara yang dinaikinya ditahan rejim itu, pagi kelmarin.

Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.

"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan.

"Alhamdulillah, kini kami selamat,’’ katanya ketika menghubungi bilik berita Astro Awani pagi ini. - Utusan

124 aktivis flotila bantuan Gaza tiba di Jordan

02/06/2010 12:08pm

JAMBATAN ALLENBY, Jordan 2 Jun – Seramai 124 aktivis pro-Palestin dari 12 negara Islam termasuk Malaysia tiba di Jordan hari ini selepas dibebaskan oleh Israel.

Aktivis tersebut yang ditahan dalam serangan komando Israel ke atas flotila bantuan Gaza kelmarin menyeberangi Jambatan Allenby ke Jordan dengan menaiki lima buah bas.

Pegawai tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, Jordan akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain. – AP

Kerajaan bentang usul kecam Israel

02/06/2010 12:05pm

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat Isnin ini bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dua hari lepas.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan untuk pembentangan usul itu dibuat dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan mengusulkan agar pencabulan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel itu dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri juga mengarahkan Wisma Putra supaya menyelamatkan kesemua rakyat Malaysia itu.

Pagi ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Jordan untuk mengusahakan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditahan ketika tentera Israel menyerang kapal yang mereka naiki bersama sukarelawan antarabangsa dalam perjalanan untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, “Mavi Marmara”, dan mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Israel, yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa dilaporkan berkata, ia akan mengusir keluar kesemua 682 sukarelawan dari 35 negara yang ditahannya dalam serangan itu. - Bernama


Comments

Popular posts from this blog

antara Rahmat ALLAH dan kualiti Periuk NEVIO

Warna-warni Memori